Pekin Ibrahim Kahwin Tahun Depan


Pekin Ibrahim Kahwin Tahun Depan

Pekin Ibrahim menafikan dakwaan segelintir pengguna Internet di laman sosial yang mendakwa dia hanya mereka-reka cerita bercinta dengan seorang gadis berbangsa Inggeris sejak enam bulan lalu.

Pelakon dan pengarah itu berkata, dia dan kekasihnya yang juga model dan pelukis berusia 23 tahun itu juga sudah merancang berkahwin tahun depan.

“Dia sudah memeluk Islam baru-baru ini. Dia memeluk Islam bukan kerana mahu berkahwin dengan saya tetapi atas kerelaannya sendiri,” katanya.

Menurut Pekin, kekasihnya yang dikenali sebagai Iman itu masih terikat dengan kontrak kerja di London sehingga hujung tahun ini.

“Saya pula sedang sibuk dengan projek filem baru. Biar semua urusan selesai baru kami berbincang persiapan perkahwinan,”katanya.

Pekin berkata, ibunya juga sudah bertemu dengan kekasihnya itu dan turut merestui hubungan mereka.

Akhbar ini minggu lalu melaporkan Pekin mengesahkan dia kini menjalin hubungan cinta dengan wanita berbangsa Inggeris itu.

Pelakon itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kekasihnya itu kerana masih terikat kontrak dengan beberapa jenama antarabangsa.

“Maaf saya tidak boleh kongsi lebih lanjut mengenainya. Cukuplah sekadar saya katakan dia adalah kekasih dan wanita yang berjaya membuka pintu hati saya,” katanya.

tags: pekin ibrahim, pekin, pekin ibrahim kahwin tahun depan, gosip artis malaysia

You May Also Like

0 Comments