Biarlah Saya Sihat Dulu Sebelum Fikir Soal Rumah Tangga - Zamani


Biarlah Saya Sihat Dulu Sebelum Fikir Soal Rumah Tangga - Zamani

Penyanyi legend, Zamani mahu memulihkan penyakit Skoliosis iaitu tulang belakang melengkung yang dialami terlebih dahulu sebelum memikirkan soal kahwin. Zamani, atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim berkata, dia ingin segalanya berjalan dengan baik tanpa menyusahkan mana-mana pihak di kemudian hari.

“Semua orang nak kahwin. Saya pun sudah 47 tahun. Insya-Allah duit kemenangan dalam Gegar Vaganza 5 saya ingin manfaatkan sebaiknya terutama dalam perubatan sakit tulang belakang saya.

“Apabila sihat baru boleh fikir soal nak berumah tangga. Kalau sekarang fikir mengenainya, takut nanti jadi apa-apa pula. Jadi, biarlah saya sihat dulu,” katanya.

Biarlah Saya Sihat Dulu Sebelum Fikir Soal Rumah Tangga - Zamani

Zamani yang juga pemenang tempat ketiga pada Gegar Vaganza 5 (GV5) lalu berkongsi sudah mempunyai teman istimewa yang dikenali sejak lima tahun lalu. Bagaimanapun, vokalis kumpulan Slam itu tidak mahu terburu-buru dalam soal perkahwinan.

“Kami masih berkawan. Belum sampai fasa yang boleh diuar-uarkan. Kalau tak jadi nanti malu pula. Insya-Allah, kalau sudah serius saya akan maklumkan kepada semua.

“Kami sudah lebih lima tahun berkawan. Untuk dirinya tak ada masalah. Dia seorang yang baik dan cukup memahami saya. Cuma, apa saya bimbangkan adalah belah keluarganya sama ada mereka boleh terima, suka atau tidak.

“Apa boleh dikatakan mengenainya, dia banyak tolong dan terima setiap kelemahan diri yang saya ada. Malah, sepanjang GV dia sentiasa berikan sokongan,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kumpulan Slam, Zamani memaklumkan mereka belum ada sebarang perancangan untuk membuat kemunculan semula.

“Dalam Slam ada enam orang. Saya tak boleh buat keputusan sendiri untuk muncul dengan lagu baru atau apa saja. Kami kena berbincang.

“Sebelum ini ada juga bercakap mengenai projek baru, tapi belum ada sebarang perbincangan lanjut,” katanya.


[1] https://www.hmetro.com.my/rap/2018/11/397681/biar-saya-sihat-dulu

You May Also Like

0 Comments